Arena sukan dengan keluasan 54,880 kaki
persegi itu akan menempatkan kemudahan-kemudahan tertentu termasuk ruang runcit
dan pejabat, Pejabat Pembangunan Insaniah USM, dewan serbaguna, gimnasium
eksekutif, gelanggang permainan indoor dan sebagainya.
Naib Canselor USM, Prof. Dato’ Omar Osman
berkata, USM amat berbesar hati dan terhutang budi dengan sumbangan yang
diberikan Pengasas dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri
Azman Hashim bagi menjayakan hasrat membangunkan kemudahan tersebut di USM.
Katanya, tokoh korporat berkenaan telah
menyumbang dana berjumlah RM10 juta untuk pembinaan arena sukan itu melalui
Yayasan Azman Hashim, yang turut terkenal dengan pelbagai sumbangan kepada
pelbagai projek kebajikan dan pendidikan.
``Sudah tentunya kita amat gembira dan
terhutang budi dengan kemurahan hati beliau dalam menyumbang kepada penambahan
fasiliti dalam USM yang bukan sahaja memberi manfaat kepada warga kampus tetapi
juga masyarakat di sekitarnya.
``Harapan kita apabila siap kelak pusat ini
akan menjadi satu lagi mercu tanda hubungan akrab di antara Universiti dengan
komuniti, sekaligus membantu USM merealisasikan usaha ke arah kelestarian
kewangan,’’ ujarnya.
Tambah beliau, pusat tersebut juga akan turut
dibuka kepada orang ramai namun keutamaan diberi kepada warga kampus dan juga
para pelajar sekolah yang ketandusan gelanggang untuk menjalankan aktiviti
sukan indoor.
Dalam pada itu, Azman pula menyifatkan,
beliau turut gembira dapat menyumbang kepada pembangunan gedung ilmu dan
berharap dengan adanya arena sukan tersebut dapat meningkatkan lagi kecintaan
masyarakat kepada aktiviti sukan dan riadah.
Tambah beliau, pulangan yang bakal diperoleh
melalui kemudahan yang ditawarkan di arena tersebut juga diharap dapat membantu
dalam memberi manfaat kepada hal ehwal dan kebajikan pelajar serta universiti.
``Saya juga turut berterima kasih kepada
semua di atas kesudian bekerjasama dengan Yayasan Azman Hashim bagi menjayakan
projek ini,’’ katanya ketika berucap dalam majlis penandatanganan memorandum
perjanjian (MoA) berkenaan projek itu di sini baru-baru ini.
Turut mengulas keperibadian Azman, Ahli
Lemabaga Gabenor USM, Tan Sri Datuk Mustafa Mansur pula berkata, nama Azman
Hashim memang tidak asing dari bibir peminat sukan negara khasnya sukan tenis.
``Beliau bukan sahaja bijak dalam menguruskan
hal ehwal korporat namun turut mempunyai bakat dan kemahiran tinggi dalam
bidang sukan dan mewakili negara dalam acara tenis di pelbagai kejohanan
tinggi,’’ katanya.
Dalam majlis yang sama juga turut dimuatkan
upacara penyampaian cenderamata penghargaan kepada penderma koleksi-koleksi
khas MGTF. Antara yang turut hadir termasuk mantan Naib Canselor USM, Prof. Tan
Sri Dzulkifli Abdul Razak, pengkarya seni Pulau Pinang, Syed Bakar Syed Salim,
Shamsul Bahari Abdul Mutalib dan sebagainya.
Teks: Marziana Mohamed Alias/Foto: Mohamad
Danial Shahri.
No comments:
Post a Comment